top of page

Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Menjalara Kuala Lumpur

  • Writer: drdzulkefly ahmad
    drdzulkefly ahmad
  • Jun 1
  • 2 min read

Projek Pembinaan Klinik Kesihatan  (Jenis 2) Menjalara, Kuala Lumpur telah diluluskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM85,900,700.00 di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP1 RMK13)  dan projek ini adalah selaras dengan Pelan Induk Fasiliti Kesihatan KKM 2024-2045.

 

Keluasan tapak bagi projek ini ialah 2.04 ekar dan projek ini  akan dilaksanakan oleh Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya Malaysia.  

 


Pembinaan Klinik Kesihatan Menjalara ini dijangka siap pada Januari 2032 dan akan memberi manfaat kepada 256,000 penduduk yang meliputi Parlimen Segambut, sebahagian Parlimen Batu, dan sebahagian Kawasan Damansara manakala populasi khusus di kawasan Menjalara adalah sekitar 110,000 orang. 

 

Selain itu, pembinaan klinik kesihatan ini juga akan membantu mengurangkan kesesakan di klinik sedia ada seperti Klinik Kesihatan Jinjang, Klinik Kesihatan Batu Muda, Klinik Komuniti Metro Prima dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Taman Koperasi Polis.

 

Klinik Kesihatan Menjalara ini akan merangkumi perkhidmatan Klinik Pesakit

Luar, Klinik Ibu dan Anak, Klinik Pergigian, Kecemasan, Radiologi, Makmal, Farmasi, Rehabilitasi, Metadon, Klinik Kawalan Infeksi dan perkhidmatan sokongan klinikal yang lain. Klinik Kesihatan Menjalara bakal menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung sekaligus membolehkan penduduk sekitar Menjalara mendapatkan khidmat rawatan secara lebih holistik dan efisien.

 

Pembinaan sebuah klinik kesihatan yang baharu di Menjalara adalah perlu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang bermutu, efisien dan saksama bagi seluruh masyarakat yang terlibat. Pembinaan Klinik Kesihatan Menjalara adalah selaras dengan Visi Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu negara menggembleng tenaga ke arah kesihatan yang lebih baik.


 

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kerja Raya akan terus bekerjasama dalam membangunkan fasiliti kesihatan menerusi tatakelola yang baik dan segala projek harus disiapkan mengikut kualiti, kos dan tempoh masa yang ditetapkan agar penyampaian perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkualiti dapat diberikan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. 


KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA  

 

 
 
 

Comments


bottom of page